KEBURUKAN TABLET UNTUK KANAK-KANAK





Hebat sungguh anak-anak zaman sekarang. Hadiah hari lahir yang mereka terima sehingga secanggih komputer tablet. Nampaknya ramai ibu bapa berebut untuk memberikan anak-anak mereka permainan tablet kerana tidak mahu dianggap ketinggalan.

Namun hakikatnya, tahukah anda bahawa sebenarnya pemberian tersebut telah mendedahkan si kecil kepada banyak keburukan dalam perkembangan mereka yang lebih positif. Berikut adalah beberapa keburukan yang bakal dirasakan sekiranya terus membiarkan anak anda membesar dengan permainan tablet tanpa kawalan.

 Kemahiran motor dan rasa yang terbatas
Apabila si kecil keterlaluan menggunakan jari-jemari mereka menyentuh skrin tablet untuk bermain, ia sebenarnya telah membantutkan perkembangan kemahiran mereka. Mereka tidak dapat rasa dan bau benda yang sebenar. Mereka tidak dapat meningkatkan kemahiran tangan mreka. Jangan terkejut sekiranya anak anda nanti tidak mahir memegang pensil untuk menulis nama apabila sudah masuk ke tadika.

 Ketagih ‘game’
Jangan berbangga sekiranya si kecil yang baharu berusia setahun dua sudah pandai bermain ‘game’ dalam tablet. Ia hanya akan membuatkan mereka rasa ketagih dan tidak boleh berhenti bermain.

 Meningkatkan risiko rabun
Akibat terlalu lama mata tertumpu kepada skrin tablet, ia boleh menyebabkan mata anak yang masih kecil cepat letih dan penat. Ini meningkatkan risiko mereka bercermin mata walaupun baharu berusia bawah enam tahun.

 Mengganggu tidur
Mungkin ada segelintir ibu bapa yang gemar menggunakan teknologi untuk tujuan menidurkan anak mereka. Membacakan buku sebelum anak tidur memang aktiviti yang bagus tetapi jika menggunakan tablet, ia hanya akan membuatkan anak anda semakin sukar tidur. Cahaya yang terang daripada tablet dan pelbagai bunyi-bunyian hanya akan membuatkan si kecil anda semakin aktif dan ligat. Lebih baik baring bersama dan peluk anak sampai mereka tertidur.

 Anak mudah mengamuk
Cuba anda minta semula tablet yang sedang digunakan oleh si kecil untuk bermain. Apa reaksi mereka? Tentu sahaja dia akan mengamuk dan menangis. Inilah akibatnya jika kita tidak mengawal aktiviti penggunaan tablet. Bila sudah ketagih, emosi mereka tidak stabil kerana asyik teringatkan ‘game’ sahaja.

Apa pun keputusan terletak di tangan ibu bapa. Persoalannya adakah anda membelikan anak tablet untuk mereka bermain sepanjang masa kerana tidak mahu mereka mengganggu aktiviti anda atau sekadar ingin mendedahkan mereka dengan teknologi iaitu bermain bersama tablet tersebut dalam masa tertentu? Jangan jadikan gajet tersebut sebagai bahan pujukan untuk menyuruh si kecil duduk diam atau berhenti menangis kerana kesannya amat buruk untuk perkembangan mereka.

Post a Comment

0 Comments