APA ITU AUTISME?





APA ITU AUTISME ?

Istilah autisme berasal dari perkataan autos yang bererti diri sendiri dan Isme yang bererti aliran. Ini bermakna autisme membawa maksud keadaan yang menyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri.

Istilah autisme berasal dari perkataan autos yang bererti diri sendiri dan Isme yang bererti aliran. Ini bermakna autisme membawa maksud keadaan yang menyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri.

Autisme adalah kategori ketidakupayaan yang dicirikan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi sosial, gangguan deria, pola bermain, dan perilaku emosi. Gejala autisme mula kelihatan sebelum kanak-kanak berumur tiga tahun. Keadaan ini dialami di sepanjang kehidupan kanak-kanak itu. Kanak-kanak autisme sering menimbulkan kekeliruan bagi penjaganya kerana mereka kelihatan normal tetapi memapar-kan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza. Pemahaman dan tanggapan yang salah terhadap keadaan kecacatan ini membawa kepada kelewatan perkembangan yang serius dalam semua bidang perkembangan terutamanya dalam bidang kemahiran sosial dan komunikasi.

Kebanyakan kanak-kanak autisme juga mengalami terencat akal tetapi dalam pelbagai tahap. Dalam kemahiran koordinasi mata-tangan, sama ada mereka menghadapi masalah ataupun mereka lebih maju dalam aspek itu dan kemahiran lain. Mereka mungkin tidak dapat bertutur, hanya mengeluarkan bunyi-bunyi ataupun meniru apa yang diperkatakan orang lain. Mereka juga tidak suka disentuh ataupun berhubung dengan orang lain ataupun mungkin selalu berpaut pada sesiapa sahaja.

PUNCA AUTISME

Punca sebenar autisme tidak diketahui tetapi beberapa teori terakhir mengatakan faktor genetik memainkan peranan penting yang menyebabkan berlakunya keadaan austistik pada kanak-kanak. Bayi yang dilahirkan kembar hasil daripada satu telur didapati kemungkinan mengalami gangguan autistik.

Selain itu pengaruh virus yang dihidapi oleh si ibu semasa hamil seperti rubela, toxo, herpes, pemakanan yang tidak berzat, pendarahan, keracunan makanan, juga mempengaruhi pertumbuhan sel otak yang dapat menyebabkan fungsi otak bayi yang dikandung terganggu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komuni-kasi dan interaksi.

Malah kini, turut dikenal pasti dalam punca berlakunya autistik adalah akibat pencernaan. Lebih dari 60% kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan ini menyebabkan protein daripada makanan ini tidak berubah menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang melalui kencing.

Bagi kanak-kanak autistik, pepton ini diserap kembali oleh tubuh, memasuki aliran darah, terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfin dan gliadrofin, yang merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu. Fungsi otak yang terganggu adalah melibatkan fungsi kognitif, komunikasi reseptif, perhatian dan tingkah laku.

Ciri-ciri Kanak-kanak autisme mempunyai masalah ataupun gangguan dalam bidang berikut:

1. Komunikasi:

  • Perkembangan bahasa yang lambat ataupun tiada langsung
  • Kelihatan seperti bermasalah pendengaran dan tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh orang lain
  • Jarang menggunakan bahasa
  • Sukar diajak bercakap
  • Kadangkala dapat menuturkan sesuatu tetapi buat seketika sahaja
  • Perkataan yang dituturkan tidak sesuai dengan pertanyaan
  • Mengeluarkan bahasa yang tidak difahami
  • Meniru perbualan ataupun perkataan orang lain (echolalia)
  • Dapat meniru ayat ataupun nyanyian tanpa mengerti maksudnya
  • Suka menarik tangan orang lain bila meminta sesuatu

2. Interaksi sosial:

  • Suka bersendirian
  • Tiada kontak mata dan sentiasa mengelak daripada memandang muka orang lain
  • Tidak gemar bermain dengan rakan dan sering menolak ajakan rakan
  • Suka menjauhkan diri dan duduk di suatu sudut
  • Sensitif pada sentuhan
  • Tidak suka dipegang ataupun dipeluk
  • Sensitif dengan bunyi yang kuat dan menutup telinga
  • Suka mencium dan menjilat mainan ataupun benda-benda lain
  • Kurang sensitif pada rasa sakit ataupun takut


3. Pola bermain:


Tidak suka bermain seperti mana kanak-kanak sebayanya
Tidak suka bermain dengan rakan sebayanya
Tidak bermain mengikut cara biasa, dan suka memutar-mutar ataupun melambung-menyambut alat mainan ataupun apa sahaja yang dipegangnya
Suka dengan objek-objek yang berputar, seperti kipas angin
Apabila ia menyukai sesuatu benda, terus dipegang dan dibawa ke mana-mana sahaja


4. Tingkah laku:

  • Sama ada hiperaktif ataupun hipoaktif
  • Melakukan perbuatan ataupun gerakan yang sama dan berulang-ulang seperti bergoyang-goyang, mengepakkan tangan dan menepuk tangan, berputar-putar, mendekatkan mata ke televisyen, berlari ataupun berjalan mundar-mandir
  • Tidak suka pada perubahan
  • Dapat duduk tanpa membuat apa-apa dan tanpa apa-apa reaksi


5. Emosi:

  • Sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab
  • Mengamuk tanpa terkawal jika tidak dituruti kemahuannya ataupun dilarang daripada melakukan sesuatu yang diingininya
  • Merosakkan apa sahaja yang ada di sekitarnya jika emosinya terganggu
  • Menyerang sesiapa sahaja berhampirannya jika emosinya terganggu
  • Ada kalanya mencederakan diri sendiri
  • Tiada rasa simpati dan tidak memahami perasaan orang lain

Kanak-kanak autisme kurang berinteraksi dengan rakan-rakan dan biasanya memaparkan tingkah laku yang negatif seperti menjerit ataupun merosakkan harta benda orang lain. Kebanyakan masalah yang timbul adalah akibat gangguan terhadap interaksi sosial yang normal. Masalah disiplin ketara bagi kanak-kanak kategori ini malah mereka kurang terpengaruh dengan puji-pujian ataupun peneguhan sosial yang lain. Time out biasanya adalah cara yang tidak efektif bagi mengurangkan tingkah laku negatif kerana mereka dibiarkan sendirian.

Dipetik daripada buku Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa

Post a Comment

1 Comments