POSTPARTUM DEPRESSION : APA YANG PERLU ANDA TAHU ?




Postpartum Depression adalah satu keadaan di mana si ibu mengalami kemurungan atau depresi selepas melahirkan anak.

Proses kelahiran, sama ada normal atau secara pembedahan C-Seksyen, merupakan satu proses yang mencabar. Ia menuntut banyak kesabaran, tenaga, dan pengorbanan daripada si ibu. Tidak hairanlah jika ada para ibu yang trauma sebaik sahaja melalui proses ini, terutamanya bagi ibu yang pertama kali melahirkan anak.

Tiga Jenis Masalah Kemurungan Selepas Bersalin

Bukanlah semua kemurungan itu dikategorikan sebagai PPD. Ada tiga jenis peringkat yang berbeza, biasanya dikategorikan mengikut keseriusan sesuatu kemurungan itu.

1. Postpartum Blues – Perasaan ‘Blues’ Selepas Bersalin

Postpartum Blues adalah peringkat pertama dalam kemurungan selepas bersalin. Ianya tidaklah terlalu serius. Mereka yang mengalami masalah ini biasanya mengalami tekanan emosi yang sederhana.

Bahkan, ia adalah perkara yang normal dan mungkin tidak perlu dirisaukan. Hampir kebanyakan ibu akan terkesan sedikit daripada proses melahirkan anak dan mengalami simptom yang sederhana seperti:

- Berasa sayu
- Selalu bersedih
- Berasa letih
- Perasaan bimbang
- Rasa tidak senang hati

Dengan sokongan daripada suami dan keluarga, simptom ini akan hilang dengan sendirinya.

2. Postpartum Depression – Depresi Selepas Bersalin

Istilah yang biasa kita dengar, postpartum depression, sebenarnya adalah tingkat kedua dalam masalah kemurungan selepas bersalin. Ia merupakan kesinambungan daripada postpartum blues yang tidak dikawal dengan baik.

PPD selalunya disamakan dengan ‘meroyan’. Ini adalah perkataan biasa yang orang-orang kita selalu sebutkan. Kalau anda hendak tahu, mengikut kajian saintifik, PPD atau meroyan selalunya terjadi disebabkan oleh perubahan hormon.

Sememangnya, semua para ibu akan mengalami pertukaran hormon di dalam badan mereka, sama ada sedar atau tidak. Hormon-hormon ini kemudiannya akan mempengaruhi keadaan fizikal dan emosi seseorang itu.

Antara simptom yang anda patut beri perhatian pada ibu berpantang adalah:

-Terlebih sensitif
- Banyak menangis tanpa sebab
- Selalu marah dan risau
- Terlampau letih
- Tidak tidur/terlebih tidur
- Tidak ingin mendukung atau berada dekat dengan bayi

3. Postpartum Psychosis – Keadaan Tekanan Mental Selepas Bersalin
Antara simptom postpartum psychosis yang anda patut berjaga-jaga adalah:

1) Bercakap tentang membunuh diri
2) Ingin mencederakan bayi
3) Memikir yang bukan-bukan
4) Mendengar bisikan-bisikan halus
5) Berhalusinasi dan bercakap sorang-sorang

Kita perlu sedar bahawa tahap ini bukan lagi gangguan perasaan semata-mata, tetapi telah menjadi suatu jenis gangguan mental – satu penyakit yang di iktiraf sains!

Dengan perhatian yang betul daripada orang sekeliling, rawatan perubatan yang terbaik serta sokongan emosi daripada suami dan ahli keluarga, masalah kemurungan selepas bersalin pasti akan dapat di tangani.



Post a Comment

0 Comments